Cerita Pendek Oleh: Tk. Kelly Gincho
Zara menatap skrin Excel di hadapannya, lajur demi lajur angka meluncur seperti ombak yang tak pernah berhenti. Pejabat bahagian akaun sunyi seperti biasa, hanya diselangi dengan bunyi papan kekunci ditekan dan hela nafas rakan sekerja.
Zara tinggal sendirian di sebuah kondominium di tengah bandar, anak kepada seorang usahawan berjaya. Selepas ibu Zara meninggal dunia 10 tahun lepas, ayahnya telah berkahwin semula dan berhizrah ke luar negara. Dia ada segalanya kecuali teman bicara. Kesunyian itu yang membawanya menjadi Pena Seribu Tinta, penulis misteri yang puisinya pernah viral di platform MayaCipta.
Karya nya itu telah menarik perhatian seseorang yang kerap muncul di ruangan komennya, Penjejak Cahaya.
Seorang pembaca setia, pengkritik jujur, dan entah kenapa, kata-katanya selalu menyentuh jiwa. Zara tak pernah tahu siapa dia. Tapi di setiap komen dan ulasan, Zara merasa akrab dan membuatkan dia mahu terus menulis.
——————
Matthew menyandar di meja kecilnya berhadapan bilik CEO. Fail dalam tangan sekadar helah matanya sudah beberapa kali melirik ke arah sudut pejabat akaun yang tidak pernah riuh. Di situ, Zara duduk seperti biasa, tenang, tak pernah lebih dari sekadar senyum jika terserempak di pantri atau lif.
Bukan sekali dua dia cuba mulakan perbualan, tapi gadis itu seperti berlapis-lapis dinding kaca, boleh dilihat tapi sukar didekati. Dan anehnya, itu yang buat Matthew makin tertarik. Dalam dunia korporat yang penuh drama dan politik pejabat, Zara lebih banyak diam, tidak mencampuri urusan orang, dan seperti tidak pernah terkesan dengan hiruk-pikuk sekeliling.
Dia tak tahu banyak tentang gadis itu. Tapi setiap kali melihat Zara ada satu rasa aneh yang singgah di dada. Bukan sekadar kagum. Tapi ingin tahu.
Dalam kesibukan nya menyusun jadual CEO, dalam diam dia juga gemar berkarya. Dan dia juga punya nama pena, Penjejak Cahaya. Sejak beberapa bulan lalu, dia mula mengikuti seorang penulis misteri di MayaCipta. Pena Seribu Tinta. Apa ynag dia tahu tentang penulis itu hanyalah dia seorang penulis wanita yang hasil karya nya sarat dengan makna tersirat yang membuat kan nya tertunggu tunggu.
—————-
Bunyi printer merengek perlahan dari sudut ruang pejabat. Zara berdiri di hadapannya, membelek helaian laporan audit yang baru dicetak. Rambutnya disanggul kemas, kemeja putih disisip rapi ke dalam seluar slack hitam ringkas, tapi ada gaya.
“Zara?”
Dia berpaling perlahan. Matthew berdiri tidak jauh darinya, menyandang fail biru dengan tangan kiri, dan secawan kopi pada tangan kanan.
“Ya?” balasnya, nada lembut tapi tidak mesra.
Matthew tersenyum kecil. “Saya cuma nak sahkan. Ini borang permohonan pembayaran yang awak hantar semalam, kan?” Dia hulurkan satu helaian kertas. “Ada satu ruangan yang tertinggal kosong. Bahagian pengesahan kod bajet.”
Zara ambil kertas itu dengan anggukan perlahan. Jari mereka nyaris bersentuh. “Oh. Maaf, saya akan lengkapkan sekarang.”
“Tak apa,” balas Matthew cepat-cepat, seolah-olah tak mahu dia rasa bersalah. “Just double check before hantar kepada saya ya. CFO kita suka cari alasan untuk reject.”
Zara mengangguk lagi sebelum matanya kembali jatuh ke helaian kertas di tangannya.
Matthew diam seketika. Pandangan matanya terpaut pada senyum halus yang Zara beri sebelum dia berpaling dan kembali ke mejanya..
——————
Matthew bersandar di sofa. Kopi yang tadi panas kini hanya tinggal suam. Jari-jarinya berhenti menaip sepuluh minit lalu membaca karya terbaru dari Pena Seribu Tinta.
Judulnya: Sepi Yang Tak Bernama.
Ayat terakhir dibacanya berulang kali.
“Aku tidak meminta bulan jatuh ke ribaan. Aku cuma mangharap seseorang mendengar teriak dalam bisuku.”
Matthew tarik nafas dalam. Entah kenapa, setiap bait tulisan itu selalu terasa peribadi. Seolah-olah penulis itu berkongsi dunia yang sama seperti nya, kesepian yang sukar diterangkan dengan kata-kata.
“Kadang-kadang, diam lebih kuat daripada jeritan. Teruslah berkarya ….. Penjejak Cahaya.”
Matthew bersandar semula, matanya terpejam seketika. Karya Pena Seribu Tinta adalah satu-satunya karya yang membuatkan dia rasa difahami.
“Siapa kau sebenarnya?” bisiknya perlahan .
——————–
Hujan rintik-rintik di luar jendela. Lampu meja menyinari ruang kerja kecil Zara yang dikelilingi buku, lilin aromaterapi, dan secawan coklat panas yang masih berasap. Dia baru sahaja menekan butang “Hantar” di MayaCipta, memuat naik puisi terbarunya
Sepi Yang Tak Bernama.
Dia tak mengharap pujian. Bukan juga pengiktirafan. Tapi setiap kali karya itu dilepaskan ke dunia luar, ada satu rasa lega seakan beban yang lama disimpan akhirnya dapat diluahkan. Notifikasi muncul di sudut skrin. Komen dari Penjejak Cahaya.
“Kadang-kadang, diam lebih kuat daripada jeritan. Teruslah berkarya ….. Penjejak Cahaya.”
Dia tersenyum kecil, bersandar di kerusi, memandang ke arah langit malam yang dilitupi awan.
“Siapa sebenarnya, Penjejak Cahaya?”
komunikasi mereka hanya pada ruangan komen. Tapi Zara rasa, penjejak cahaya memahami dunia nya.
“Terima kasih kerana masih membaca. Mungkin suatu hari nanti, kau akan faham diam itu juga punya suara.”
Dia tekan “Hantar” kemudian dirinya hanyut dalam bunyi hujan yang mengetuk kaca.
——————————
“Semua staff HQ akan ke Langkawi untuk retreat syarikat minggu depan. Aktiviti kita santai saja, lebih kepada ‘team bonding’ dan sesi santai bersama CEO.”
Matthew berdiri di hadapan ruang mesyuarat kecil, membaca memo dengan nada neutral. Beberapa kakitangan bersorak kecil peluang bercuti dari kesibukan kerja.
Zara hanya mengangguk perlahan. Dia bukan peminat acara sosial, apatah lagi bila perlu bergaul rapat dengan orang yang dia tak biasa bercakap pun. Tapi demi kerja. Dia tak ada pilihan.
Matthew sempat melirik ke arah Zara. Dia tahu gadis itu bukan jenis yang suka perhatian, tapi entah kenapa, dia harap Zara akan pergi juga.
Malam Sebelum Bertolak, Zara kemas beg ringkas. Tak banyak sekadar baju santai, buku nota, dan laptop. Dalam kepalanya, dia cuba yakinkan diri bahawa ini hanyalah tugas, bukan peluang untuk ‘berseronok’.
Matthew juga sedang berkemas. Tapi laptop dia sudah terbuka, dan skrin MayaCipta memaparkan notifikasi baru. Balasan daripada Pena Seribu Tinta.
“Terima kasih kerana masih membaca. Mungkin suatu hari nanti, kau akan faham diam itu juga punya suara.”
Matthew baca ayat itu berkali-kali. Dia taip perlahan:
“Saya akan tunggu hari itu datang.”
Tapi dia tak tekan Hantar. Jari nya tergantung di atas butang, ragu-ragu .
——————-
Malam Pertama, Langkawi.
Meja panjang dihiasi lampu halus dan bunga-bunga tropika. Staf mula mengambil tempat, masing-masing memilih posisi selesa untuk menikmati makan malam tepi laut itu. Suasana meriah dengan gelak tawa dan gurauan.
Zara tiba agak awal, seperti biasa. Dia memilih tempat di hujung meja, menghadap laut. Sebelah kirinya sudah dipenuhi staf bahagian kreatif, dan sebelah kanannya staf dari IT. Ruang di hadapannya masih kosong. Dia tarik nafas, menghayati angin malam yang nyaman.
“Tempat ni… ada orang duduk?”
Matthew.
Zara menggeleng. “Belum.”
Dia angguk dan terus duduk. “Rezeki,” katanya ringkas.
Dua orang staf dari unit HR duduk antara mereka dan mula rancak berbual dengan Matthew. Suasana jadi sesak, dengan suara bercampur-campur. Zara diam seperti biasa, hanya senyum tipis bila dilibatkan dalam perbualan.
Matthew sesekali mencuri pandang ke arah Zara, ketika Zara mengangkat wajah untuk mencapai air, dan Matthew pula menoleh secara spontan mata mereka bertemu.
Mata mereka bertaut seketika. Zara cepat-cepat mengalihkan pandangan nya pada laut yang terbentang luas. Matthew hanya tersenyum tipis melihat tingkah Zara yang agak lucu pada pandangan mata nya.
————————–
Selepas tiga hari di Langkawi, Semua kembali kepada kebiasaan, bunyi papan kekunci, deruan penghawa dingin, dan panggilan telefon yang silih berganti. Tetapi di dalam kepala Matthew, segalanya terasa perlahan. Pandangannya jatuh ke skrin komputer. Tiada kemas kini baharu daripada Pena Seribu Tinta. Sudah tiga hari.
Biasanya, setiap dua malam sekali akan ada sekurang-kurangnya satu puisi, atau monolog yang panjang. Tapi kali ini kosong.
Matthew bersandar di kerusi, termenung. Tangannya beralih ke mug kopi yang sudah suam. Fikirannya melayang ke makan malam di Langkawi. Pandangan mata Zara. Senyuman itu. Getar yang tak mampu dia padamkan sejak malam itu.
Dia tak tahu kenapa, tapi ada sesuatu pada gadis itu. sesuatu yang membuatkan hatinya terasa seperti sedang mencari.
Di seberang ruang pejabat, pandangan mata Zara masih melekat pada screen komputer di depan nya. Dia belum menulis apa-apa sejak balik dari Langkawi. Tak ada rasa. Tak ada kata.
Ingatan nya kembali pada pandangan mata Matthew pada makan malam di Langkawi.
Dia mengeluh perlahan, lalu menunduk semula. Ingatan itu harus dipadamkan seperti angka-angka yang tersilap dalam laporan. Itu cuma pandangan biasa, dia cuba yakinkan dirinya. Bukan semua getar harus diberi makna. Dia tidak menulis. Tidak malam itu. Seperti selalu Zara memilih untuk mengabaikan perasaan yang dia sendiri tidak mahu faham.
——————————-
Suasana pejabat tengah hari itu sedikit berbeza. Di bahagian papan kenyataan digital, satu notis baharu muncul. Peraduan Menulis MayaCipta: Tema, “kata tak terungkap”.
“Hadiah pertama RM1,000 dan penerbitan dalam antologi eksklusif,” jelas suara Puan Nadia dari HR yang bersemangat membacakan notis dalam emel pejabat. “Terbuka kepada semua warga syarikat. Tarikh tutup seminggu dari sekarang.”
Beberapa staf mula bersuara ada yang teruja, ada yang menggeleng, tak minat. Matthew hanya diam pandangannya kekal pada laman MayaCipta di tab sebelah emailnya.
Nama pena itu masih sunyi. Pena Seribu Tinta.
Adakah dia akan menyertai? Matthew bertanya dalam hati.
Jari Zara mula menari atas papan kekunci. Kali ini, dia tidak padam. Tidak berundur. Dan setiap ayat itu seperti mengalir dari ruang hati yang telah lama terkunci.
“Ada kisah yang kita tidak pernah tahu bagaimana mahu mulakan. Dan ada cinta yang lebih selamat jika hanya disimpan diam-diam dalam tulisan.”
Dan jauh di bandar yang sama, Matthew sedang membaca karya yang baru dimuat naik oleh Pena Seribu Tinta selepas beberapa hari hilang di dunia maya.
Jantungnya berdegup cepat. Akhirnya dia Kembali hadir.
——————
Akhirnya hari Isnin pagi setelah seminggu berlalu, suasana pejabat gamat lagi dengan email dari pihak HR.
Keputusan Peraduan Menulis MayaCipta
Tahniah kepada pemenang utama, Pena Seribu Tinta dengan karya bertajuk “Antara Dua Sunyi”.
Sila hadir ke majlis penyampaian hadiah esok pada jam 3 petang di bilik seminar.
Matthew membaca perlahan, berulang kali.
“Antara Dua Sunyi.”
Tajuk itu seolah-olah tak asing padanya. Bukan sekadar dari MayaCipta. Tapi dia pernah nampak ayat-ayat awal puisi itu tiga hari lalu.
Hari itu dia baru selesai mesyuarat, dan berjalan ke arah meja Zara untuk menyerahkan satu fail laporan akaun. Dia ternampak helaian kertas dengan tulisan tangan di printer kecil sebelah meja Zara, dan di baris pertama…
“Ada dua rasa sepi: satu yang kau pilih, satu lagi yang memilihmu…”
Masa itu dia tak fikir banyak. Tapi sekarang baris itu adalah baris pertama karya yang menang. Matthew berdiri dari kerusi perlahan.
Dia masih ingat ekspresi Zara masa dia hulurkan fail hari itu. Wajahnya panik sekejap, cepat-cepat tarik helaian kertas itu, lipat dan sorok bawah laptop. Tapi dia cuma senyum dan buat tak tahu. Sekarang dia tahu kenapa.
Hatinya bergetar aneh. Kalau benar, itu bermakna wanita pendiam itu adalah orang yang selama ini mengetuk pintu jiwanya tanpa sedar.
———————–
Zara duduk diam di meja, mata terpaku pada emel yang baru dibacanya.
Tahniah kepada pemenang utama — Pena Seribu Tinta.
Tangannya perlahan-lahan menggulung hujung lengan baju, satu tabiat lama setiap kali dia berasa tidak selesa. Bukan sebab dia tidak menghargai kemenangan itu.
Selama ini, dunia maya adalah satu-satunya tempat dia menumpahkan isi hati tanpa topeng. Tanpa perlu menjelaskan siapa dirinya, tanpa perlu senyuman palsu dan sekarang, semua itu bakal berubah. Orang akan tahu siapa diri nya. Dia tak suka perhatian. Bagi Zara, menulis adalah dunia peribadinya. Dia tarik nafas, cuba menenangkan diri, dia rasa terperangkap dalam kemenangan sendiri. Sedikit rasa menyesal mengetuk pintu hati nya.
————————–
Langit malam kelihatan sendu dari jendela kondo Zara. Getaran telefon bimbit nya memecah hening menandakan ada notifikasi baru masuk.
Penjejak Cahaya:
Esok pengumuman, kan? Awak datang kan?
Zara mengeluh kecil. Jari-jarinya menaip, teragak-agak… kemudian dihantar.
Pena Seribu Tinta:
Aku tak rasa bersedia untuk dinilai sebagai “aku” yang sebenar.
Menulis sebagai bayang lebih mudah…
Beberapa saat kemudian, notifikasi muncul.
Penjejak Cahaya:
Bayang yang paling indah itu, datang nya dari sorotan cahaya yang terang.
Pena Seribu Tinta:
Langit senja hari ni…
seakan tahu aku menyimpan rahsia yang tak mampu aku lafazkan.
Penjejak Cahaya:
Mungkin sebab langit pun pernah rasa apa yang kau rasa sekarang.
Apakah yang akan menantinya esok?
——————-
“Dan pemenang utama bagi pertandingan karya kreatif tahun ini…
… jatuh kepada Pena Seribu Tinta!”
Tepukan bergema di seluruh dewan.
Selepas menarik nafas dalam-dalam mengumpul kekuatan diri, Zara berdiri perlahan . Trofi yang menantinya di pentas bukan sekadar simbol kemenangan, tetapi keberanian untuk tampil di hadapan dunia sebagai dirinya yang sebenar.
Langkahnya menuju ke pentas disambut dengan sorakan dan bisikan penuh tanda tanya. Penampilannya sederhana, baju kurung moden krim tanpa corak mencolok, rambut Panjang sedikit beralun, wajah dengan solekan natural. Semua sorotan mata terarah pada nya.
Trofi diserahkan ke tangannya. Hos acara senyum dan menyerahkan mikrofon kecil.
Hening seketika.
“Terima kasih kepada pihak penganjur atas peluang ini…
Dan kepada semua yang menghargai seni dan kata-kata,
saya harap kita semua akan terus berkarya.”
Dia tunduk sedikit tanda hormat, senyum lembut menghiasi wajahnya.
“Terima kasih sekali lagi.”
Tepukan menyambutnya turun dari pentas.
Dia kembali ke tempat duduk sekejap, dan sebelum sesi bergambar dimulakan, Zara bangun perlahan dan menyelinap keluar dari dewan, dengan langkah senyap seperti bayang-bayang.
Matthew hanya mampu memerhati dari kejauhan. Dalam hatinya, satu nama bergema:
Zara.
Zara berjalan pantas menuju keretanya. Trofi kecil tersimpan kemas dalam beg tangannya. Seboleh mungkin, dia mahu pergi secara senyap. Tapi suara itu buat langkahnya terhenti.
“Langit senja hari ni… sama macam dalam puisi awak
‘Langit seakan tahu aku menyimpan rahsia yang tak mampu aku lafazkan.’”
Zara berpaling, wajahnya sedikit terkejut. Matthew berdiri di belakangnya, wajah tenang tapi penuh makna. Bait puisi itu bukan puisi rasmi. Bukan juga yang dihantar ke mana-mana.
Itu adalah luahan hatinya kepada Penjejak Cahaya semalam.
“Awak… Penjejak Cahaya?”
Matt tersenyum kecil. Dia tidak menjawab, cukup sekadar anggukan perlahan.
Zara sejenak memikirkan semua detik perbualan mereka sebelum ini. Perlahan-lahan, senyum muncul di wajahnya.
“Saya tak pernah bayangkan… yang awak adalah dia.”
Matt membalas dengan suara lembut, “Dan saya juga tak pernah bayangkan Pena Seribu Tinta itu… awak.”
Kedua-duanya diam, dan untuk pertama kalinya, mereka tidak lagi bersembunyi di balik nama pena.
————————–
Di Antara Tinta dan Cahaya
Pejabat makin sunyi. Zara masih di mejanya, termenung sejenak sebelum tangannya tergerak mencapai telefon. Satu mesej masuk.
Matt : Hai.
Jom makan malam sama?
Tak jauh pun… saya belanja.
Kalau awak sudi.
Dia tidak segera balas. Sebaliknya, dia buka nota yang pernah ditulisnya, yang selama ini dia simpan rapi
Zara :
Tinta tidak pernah menuntut untuk difahami,
tetapi jika cahaya sudi mendekat,
ia akan membuka makna satu demi satu…
dengan tenang, dan tulus.
Matt membaca bait itu perlahan. Dia tidak balas, tidak juga bertanya lagi. Hanya senyuman lebar terukir di wajah nya.
Dan saat Zara bangkit dari kerusi, menyarung jaket tipisnya, dia tahu langkah kecil itu sedang membawa mereka ke arah yang sama.
TAMAT.
Kota Kinabalu Sabah.
21/04/20259











